Tujuh Muslim Singapura tersenarai dalam buku tokoh jagat

Tujuh Muslim Singapura tersenarai dalam buku tokoh jagat

TUJUH tokoh setempat telah disenarai dalam buku baru, The 500 Most Influential Muslims (500 Muslim Paling Berpengaruh).

Mereka ialah:

  • Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Sekitaran dan Sumber Air yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam (bidang pentadbiran);
  • Haji Zainul Abidin Rasheed, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar (Politik);
  • Ustaz Ibrahim Kassim (mursyid tarekat dan pembimbing program pemulihan bagi tahanan Jemaah Islamiyah); dan Haji Maarof Salleh, Pengarah Pusat Pengajian Islam Semasa (kededuanya dalam bidang ulama/kesarjanaan).
  • Mohammed Nassir, Pengarah SimplyIslam.sg; dan Abdul Razak Mohamed Lazim, Pengarah Kanan Majlis Ugama Islam Singapura dalam bidang belia; dan
  • Iskandar Jalil, pakar tembikar dalam bidang budaya.Buku ini terbitan Pusat Pengajian Strategik Islam Diraja di Amman, ibu kota Jordan, dengan kerjasama Pusat Putera Alwaleed Bin Talal bagi Persefahaman Muslim-Kristian di Washington DC, ibu kota Amerika Syarikat.Buku ini memberi pentarafan menurut 15 bidang daripada agama sehingga kebudayaan.Sebanyak 50 tokoh diangkat sebagai paling berpengaruh, manakala lagi 450 menurut bidang masing- masing seperti ulama/sarjana, politik, pentadbiran, dakwah, wanita, belia, dan media.Disunting oleh Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin, ia merupakan usaha pertama dalam meninjau peribadi Muslim ternama di seluruh dunia.

    Profesor Esposito ialah Pengarah Pusat Putera Alwaleed Bin Talal dan pernah berceramah di Singapura.

    Matlamat penerbitan buku ialah sebagai ‘jendela untuk melihat pemeran utama dalam Dunia Muslim’. Ia juga bertujuan menerangkan keberagamaan hidup Muslim di seluruh jagat.

    Buku ini juga menjelaskan bahawa Muslim tidaklah sama – dengan 90 peratus berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Sunni.

    Ia juga memberikan takrif Muslim sama ada sebagai pengikut empat mazhab utama iaitu (Sunni), Syiah (Jaafari dan Zaydi), Ibadi (orang Oman) atau Thahiri.

    Tokoh terulung dalam senarai itu ialah Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud dari Arab Saudi; dan Ayatollah Sayyid Ali Khamenei dari Iran pula di tempat kedua.

    Dari Dunia Melayu, tokohnya pula terdiri daripada Dr Hasyim Muzadi, Pengerusi Nahdlatul Ulama (Indonesia); Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Brunei); Tun Dr Mahathir Mohamad (Malaysia); dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (Indonesia).

    Buku ini juga mendedahkan bahawa terdapat tiga golongan Muslim iaitu tradisional (96 peratus), modenisme (1 peratus) dan fundamentalis (3 peratus).

    Dari segi pengaruh, buku ini juga menyatakan tindakan tokoh Muslim seperti Aminah Wadud (imam wanita yang kontroversial) sehingga ketua spiritual Jemaah Islamiyah iaitu Abu Bakar Baasyir di Indonesia.

    Walaupun sebuah karya ilmiah berbobot, tidak syak buku ini boleh menimbulkan tengkarah bagi sesetengah pihak yang kurang menyenanginya.

    Source: http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,154287,00.html